Pak Kadok merupakan
salah satu bentuk Sastera Rakyat Melayu.
Ia merujuk kepada seorang lelaki yang bernama Pak Kaduk yang mempunyai sifat
yang lurus bendul. Dia mempunyai seorang isteri yang terpaksa menahan segala
perbuatan bendulnya. Kisahnya menceritakan kejadian yang menimpa diri dan
keluarganya. Kisah Pak Kaduk amat terkenal kepada kebanyakan masyarakat Melayu di Malaysia sehinggakan banyak
sekali perbandingan sifat orang yang lurus bendul disabitkan dengan hikayat
hidup Pak Kaduk.
Seloka Pak Kaduk
Aduhai
malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
Lagenda Ikan Tapah – Hikayat Pak Kadok
Cerita ini
bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak
Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan
menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah
meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun
Bermula Kisah
Di zaman
pemerintahan Sultan
Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah,
permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya
hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua
golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.
Si Kaduk
Kebetulan
pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan Raja daripada Negeri Siak,
Sumatera yang bernama Kaduk memulakan
pelayarannya lalu datang ke Negeri Perak untuk
mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau,
Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya
dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana
(Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari
rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat
digemarinya.
Ayam
Pada suatu
hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam lalu ular
tersebut meletakkan telur tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian
ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur
ayam tersebut dan dieramkan oleh ayam ternakannya. Telur tersebut akhirnya
menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si
Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua
penduduk termasuk para pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan
ayam Si Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk
menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam
handalnya itu.
Kisah Pertarungan dan Persabungan Ayam
Berita
kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda
mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan.
Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang
bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan
isi rumahnya.
Dan di pihak
Sultan pula: Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan
negeri Perak jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima
syarat-syarat tersebut kerana sudah lama ia tidak menyabung ayam.
Lantas
dengan penuh debarannya Pak Kadok menunggu hari penyabungan ayam bersama
baginda Sultan, Pak Kadok sekali lagi telah melakukan perbuatan yang tidak
masuk akal. Dengan sebab majlis penyabungan ayam tersebut dibuat di istana
Sultan, Pak Kadok telah merasakan ia perlu menyiapkan diri dengan pakaian yang
lebih baik ketika hari penyabungan berlangsung. Pak Kadok sedar yang dia tidak
mampu untuk membeli pakaian baru kerana dia adalah orang yang miskin. Dia telah
meminjam sedikit wang daripada isterinya untuk membeli kertas kajang yang
besar. Lalu apabila pulang dari pasar, Pak Kadok telah memberikan kertas kajang
yang baru dibeli olehnya itu kepada isterinya untuk dijahit sebagai baju
melayu, seluar dan tengkolok. Isteri Pak Kadok begitu hairan dengan arahan
suaminya itu namun ia tetap akur untuk menjahit. Tatkala, bermulanya hari
penyabungan, Pak Kadok telah memakai baju kertas yang dijahit rapi oleh
isterinya itu.
Kekalahan
Sebagaimana
yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Pak Kadok yang ditukarkan dengan
Sultan telah menang. Pak Kadok pun bersorak sakan kerana ayamnya menang
sehinggakan baju dan seluar kertasnya terkoyak rabak dan yang hanya tinggal Pak
Kadok bertelanjang bulat. Sultan dan para penonton telah mengetawa dan mengejek
Pak Kadok atas keadaannya ketika itu. Dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi
milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa dia
telah dipermainkan oleh Sultan. Pak Kadok berasa amat malu dan terus pulang
kerumahnya, lalu menceritakan perkara sebenar kepada isterinya. Isteri Pak
Kadok pada mulanya berasa sangat marah dengan keadaan berbogelnya Pak Kadok
itu, tetapi ia tetap meminta untuk Pak Kadok bersabar, bertenang dan meminta
perlindungan dari Allah.
Maka dengan
berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung
halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada
Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut
tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun
berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak
dimana kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu menanam padi huma)
bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan
masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Kaduk
seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetapi ia tetap
juga begitu.
Kaduk pun
mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah
seekor ikan tapah
yang besar. Diberitakan oleh Hajah Halimah binti Abdullah (cucu kepada Ngah Jabor atau Imam Prang Jabar, pengasas Kampar) Pak Kaduk pada mulanya apabila ternampak ikan tapah
itu tidaklah tahu bagaimana cara untuk menguruskannya (mungkin kerana
terperanjat dan buntu) tetapi dengan tiba-tiba seekor Burung Kakaktua telah hinggap diatas dahan sebatang
pokok yang meneduhi diri Pak Kaduk lalu berbunyi "Blah pruut..blah
pruut". Perkataannya itu dianggap Pak Kaduk sebagai membelah perut ikan
itu, lalu dengan segeranya Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata
tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan
keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah
rezeki daripada Tuhan.
Sumpahan
Maka Pak
Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan
berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam
sungai. Semasa inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
“Mulai hari
ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku,
cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan
tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barangsiapa
melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak,
kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…”
Ikan Tapah
itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan
kemudiannya hilang ke dalam air.
Tebus
Pak Kaduk
pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya,
dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi
dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana
di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.
Kepada anak
cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit
yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja,
terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum
air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut.
Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap
masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segalanya
selesai, Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan
sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah
dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa.
Diantaranya
Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar
Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya
memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok
Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh
dalam usaha membawa pulang Puteri Limau
Purut dari Istana Aceh
sebagaimana dalam kisah Megat Terawis. Pak
Kaduk juga telah mengikat perjanjian dengan Sultan Perak pada waktu itu untuk
tidak membenarkan dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya untuk membuat
perkara larangan istana perak ataupun pantang larang DiRaja Perak misalnya
membela kucing hitam, mempunyai buaian buluh dan sebagainya sepertimana yang
termaktub dalam Adab Pantang Larang DiRaja Perak.
Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah
Emas Kancing
adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk
Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada
sekarang ialah sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar
kepada cucu atau keturunan Pak Kaduk jika terkena bisa Ikan Tapah. Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah
di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah
Hasmah Binti Pandak Logam.